Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM FC berpesta gol
27/07/2025

 


DPMM FC terus mempamerkan dominasi dalam kancah Liga Belia Brunei Musim 2025/2026 bagi Kategori Bawah 18 Tahun (U18) apabila membelasah Muaz FT dengan jaringan 10-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Jerudong Park Mini Stadium, petang tadi.

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Juga berangkat anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman.

Turut menyertai DPMM FC ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia, iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim, selaku Ketua Pasukan.

Perlawanan dimulakan dengan aksi seimbang, namun DPMM FC mula mencipta kelebihan pada minit ke-35 melalui jaringan Muhammad Akmal Rizal bin Muhammad Abu Bakar.

Hanya seminit selepas itu, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim menambah jaringan kedua pasukan.

Menjelang akhir babak pertama, DPMM FC memanfaatkan masa tambahan dengan dua lagi gol masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Akmal Rizal pada minit ke-41 dan Awangku Faris Fadillah bin Pengiran Saiful Bahari pada minit ke-42, menjadikan kedudukan 4-0 sebelum rehat.

Babak kedua menyaksikan DPMM FC terus menggandakan asakan. Gol kelima hadir pada minit ke-48 menerusi sepakan Awangku Amirul Umar bin Pengiran Saiful Rizal, diikuti hatrik Muhammad Akmal Rizal pada minit ke-65.

Dua minit kemudian, YTM Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim menjaringkan gol ketujuh melalui sepakan penalti, disusuli gol kelapan oleh Muhammad Akmal Rizal pada minit ke-68.

Gol kesembilan dijaringkan oleh Mohammad Haikal Ridzwan bin Mohammad Aliuddin pada minit ke-72, manakala jaringan penutup pada minit ke-95 disumbangkan oleh Muhammad Hafiy Hakim bin Azizan, melengkapkan kemenangan bergaya 10-0.

Dalam perlawanan lain hari ini, PKT FT seri 0-0 dengan Shada FT; Indera SC menewaskan Dagang FT 4-0; dan Panchor Murai FC seri 3-3 dengan BSRC Football.

Perlawanan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 29 Julai di Padang Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, menyaksikan pertemuan antara Dash Football Academy dan PIP.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto